TINDAKAN Bersatu yang lambat untuk ‘mengikat’ Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz punca Menteri Kewangan berkenaan memilih untuk bersama Barisan Nasional (BN), kata Badrul Hisham Shaharin.
Pemimpin Bersatu Johor itu, berkata beliau terpaksa membuat teguran terbuka berkenaan selepas melihat parti itu kehilangan ramai tokoh dan aktivis disebabkan sikap pimpinan atasan yang lambat bertindak.
Katanya, Bersatu tidak boleh meletakkan kesalahan terhadap keputusan Tengku Zafrul menerima lantikan sebagai Bendahari BN Selangor kerana ia berlaku disebabkan parti itu tidak serius menerima kehadiran beliau.
“Hari ini ‘gege’ (riuh) berkenaan Tengku Zafrul dilantik Bendahari BN Selangor. Bagi saya jangan salahkan Tengku Zafrul sahaja. Dia orang korporat yang masuk politik.
“Namun Bersatu sendiri ‘slow’ saya dah bercakap lama dengan banyak orang atas. Ikat dia (Tengku Zafrul) dalam parti, bila dia dari Lembah Pantai ke Kuala Pilah dan kemudian terbaru ke Utara Selangor mencari kawasan pilihan raya sendirian,” katanya menerusi Facebook.
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata, usaha Tengku Zafrul mencari kawasan untuk ‘bertapak’ dalam pilihan raya itu jelas membuktikan beliau serius mahu terlibat dalam politik.
“Sebelum ini Bersatu hilang beberapa tokoh dan ramai aktivis kerana atasan tidak selesaikan isu Muhajirin, Ansar orang baru, orang lama sampai tertubuh parti baru.
“Contohnya di Melaka (Tan Sri) Rahim Tamby Chik orang lama yang nampak bersungguh menguja nak bantu (parti) tapi macam tak ada laluan ia juga berlaku banyak tempat (sekadar memetik satu contoh),” katanya.
Justeru, beliau menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu serta pucuk pimpinan parti segera bertindak menyelesaikan isu yang berlaku.
“Bersatu perlu bersifat inklusif. Presiden (Muhyiddin) orang baik tapi harap lepaskan diri dari gelungan lingkaran itu. Maaf kalau cakap benar dan teguran terbuka,” katanya.
Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata, lantikan Tengku Zafrul itu juga merupakan tamparan buat Datuk Seri Najib Razak kerana selama ini Menteri Kewangan itu antara individu paling lantang dalam Kabinet mendedahkan kesan skandal 1MDB terhadap negara.
“Cuma persoalannya nanti adakah rakyat akan rindu kerana hilangnya serangan Najib pada Tengku Zafrul dan pendedahan Tengku Zafrul menjawab penipuan Najib?,” soalnya.
Semalam, BN Selangor mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor.
Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Seri Jamal Yunus yang dilantik sebagai Ketua Komunikasi BN Selangor. – Malaysiapost

