Ben Ibrahim
SEBELUM ini Tengku Susilawati Tengku Omar banyak meluangkan masa sebagai suri rumah, namun rutin hariannya berubah selepas suaminya diserang sakit kencing manis kronik enam bulan lalu.
Tengku Susilawati, 43, kini menggalas sepenuhnya tugas ketua keluarga berikutan kesihatan suaminya, Tengku Azahar Tengku Husin, 44, tidak lagi mampu bekerja selepas menghidap penyakit kencing manis hingga bahagian kaki kanannya berkudis dan bernanah.

Tengku Azahar sebelum ini adalah tekong nelayan dan mengakui tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak selepas tidak lagi mampu turun ke laut mencari rezeki.
Perkara itu diakui Tengku Susilawati ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Pelindung Damai, dekat Beserah, Kuantan, baru-baru ini.
“Dia dah tak boleh bergerak seperti dulu, sekarang banyak terlantar di rumah kerana keadaan kakinya yang luka akibat kencing manis.
“Jadi saya fikir kena buat sesuatu untuk bantu keluarga dan dari situ saya belajar berniaga ikan dan hasil laut secara dalam talian.
“Sedikit sebanyak bolehlah bantu menampung keperluan kami dan hasilnya juga boleh saya guna untuk beli ubat diperlukan suami,” katanya.
Pasangan yang mempunyai tiga anak itu berkata, kos membeli ubat bagi rawatan suaminya boleh mencecah RM500 sebulan.

Ditanya cara dia mendapatkan bekalan ikan dan hasil laut, Tengku Susilawati berkata, dia perlu ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan, dekat Tanah Putih, bagi memperoleh bekalan ditempah pelanggan.
“Biasanya sebelah malam mereka (pelanggan) tempah jenis ikan atau hasil laut seperti sotong, udang dan macam-macam lagi, jadi awal pagi saya ke jeti LKIM untuk mendapatkan bekalan yang mereka mahukan.
“Sekarang saya juga menjual produk hasil laut seperti kerepok dan ikan masin kerana stoknya lebih senang nak dapat,” katanya.
Menceritakan pengalaman ketika mula-mula berniaga, dia berkata, kesukaran memperoleh bekalan daripada pembekal di jeti LKIM adalah antara cabaran dihadapinya.
“Biasalah sebab kita tidak ada pengalaman dan kenalan di sana (jeti LKIM), susah nak dapat bekalan, kena berebut dengan peniaga yang sudah lama berniaga, tapi lama kelamaan urusan saya dipermudahkan,” katanya.
Sementara itu, Tengku Azahar terharu dengan pengorbanan isterinya itu dan berharap kesihatannya kembali pulih untuk menggalas peranan sebagai ketua keluarga.
“Dia sangat tabah menjaga saya, menjaga tiga anak kami dan saya sangat menghargai usaha dilakukannya sejak saya tidak boleh bekerja, sekarang ini nak berjalan pun tak boleh.
“Saya harap keadaan (kesihatan) saya tidak berpanjangan kerana saya fikir, saya masih mampu bekerja, cuma sekarang keadaan tidak mengizinkan,” katanya yang masih ingin kembali menjadi nelayan sekiranya pulih. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

