Najib ‘setuju’ Tun M tak pernah jadi ‘katak’

0
1
kombinasi

DATUK Seri Najib Razak hari ini menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad dengan menyatakan beliau bersetuju bahawa Pengerusi Pejuang itu tidak pernah menjadi ‘katak’ atau melompat parti.

“Setuju dengan Tun M bahawa dia tak pernah lompat ke parti lain. Tak pernah menjadi katak.

“Ketika jawatan presiden Umno dimenanginya dengan tipis pada pemilihan tahun 1987 dalam ancaman selepas dicabar di mahkamah atas kewujudan pengundi dari cawangan haram, dia tak lompat parti.

“Dia tukar sahaja Lord Presiden Mahkamah Persekutuan dan dia biarkan Umno dibubarkan,” sindir Najib menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Pekan itu berkata, selepas itu Dr Mahathir tubuh Umno baharu dan terus menjawat dengan selamat sebagai presiden.

“Bila anak dia tewas sebagai calon naib presiden dalam pemilihan Umno tahun 2013, dia tinggalkan parti Umno dan tubuhkan parti PPBM (Bersatu).

“Anak dia terus naik pangkat dari calon naib presiden yang kalah untuk menjawat sebagai Timbalan Presiden parti,” katanya lagi.

Sambung Najib, apabila dikhianat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr Mahathir seterusnya meninggalkan Bersatu dan menubuhkan parti Pejuang.

“Anak dia terus naik pangkat dari Timbalan Presiden untuk menjadi Presiden parti PETAI (Pejuang). Tak pernah sekalipun Tun M lompat parti dan tidak boleh digelarkan katak,” kata Najib.

Terdahulu media melaporkan, Dr Mahathir berkata adalah salah untuk melabelkan beliau sebagai katak politik kerana lompat parti.

Malah kata bekas Perdana Menteri itu, beliau sentiasa berpegang pada prinsipnya.

“Saya keluar Umno hanya kerana banyak perkara tidak beretika berlaku di sana, justeru saya menubuhkan Bersatu untuk menerangkan kepada umum apa yang Umno lakukan,” katanya semasa pertemuan dengan penduduk Kampung Baru di Kuala Lumpur malam tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here