KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkongsi di media sosial miliknya duduk semeja dengan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam satu majlis Barisan Nasional (BN) Selangor semalam.
Ini kerana menurutnya, beliau sebelum ini sering kali berbeza pandangan dengan Menteri Kewangan tersebut terutama berhubung isu pengeluaran RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium.
“Dulu seringkali punya perbezaan pandangan terutamanya dalam isu pengeluaran KWSP dan Moratorium.
“Malam ini diletakkan semeja dengan Menteri Kewangan YB Datuk Seri Tengku Zafrul di Majlis Penutup Konvensyen Barisan Nasional Negeri Selangor,” kongsi Asyraf Wajdi di Facebooknya.
Sebelum ini Asyraf Wajdi sering kali membangkitkan persoalan serta membidas Tengku Zafrul berkaitan keengganan Menteri Kewangan itu untuk membenarkan pengeluaran RM10,000 secara one-off daripada caruman KWSP.
Menurut Asyraf Wajdi ketika itu, pengeluaran tersebut penting bagi membolehkan orang ramai kembali ‘bernafas’ susulan terkesan akibat pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Malah Asyraf Wajdi turut mengadakan pertemuan dengan Tengku Zafrul di pejabat Menteri Kewangan tersebut bagi menuntut pengeluaran terbabit.
Isu tersebut selesai selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan pengeluaran khas KWSP sehingga RM10,000 pada Mac lalu.
Semalam BN Selangor mengumumkan Tengku Zafrul dilantik sebagai Bendahari BN negeri bagi menggantikan Datuk Seri Jamal Yunus yang dilantik Ketua Komunikasi BN Selangor. – Malaysiapost

