Serpihan logam dipercayai komponen roket China ditemui di Miri

0
1

SERPIHAN logam yang disyaki sebahagian daripada komponen roket Long March 5B milik China ditemukan di Sepupok, Niah di Miri, Sarawak.

Difahamkan, komponen itu dijumpai oleh penduduk di Batu Niah, yang kemudian melaporkan kepada polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata hasil tinjauan awal mendapati terdapat serpihan logam terbenam ke dalam tanah pada kedalaman lebih kurang satu meter di kawasan sekitar rumah salah seorang penduduk.

“Bagaimanapun, polis tidak dapat mengesahkan asal usul logam berkenaan dan sudah meminta bantuan dari pasukan HAZMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Telnologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menganalisa tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau berkata, orang ramai dinasihati agar tidak berada di kawasan berhampiran kerana dibimbangi logam berkenaan mengandungi bahan radioaktif.

Katanya, kawasan terbabit dipantau dengan rapi untuk memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana ia boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya.

Semalam, MYSA mengesahkan kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik China ke ruang udara Bumi, melintasi ruang udara Malaysia dan dikesan di beberapa kawasan termasuk ruang udara Sarawak sebelum direkodkan jatuh di Laut Sulu.

Malah, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi turut menasihati rakyat negara ini tidak perlu cemas dengan insiden itu.

“Serpihan roket berkenaan sebenarnya sudah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakannya turut melintasi beberapa kawasan sekitar Sarawak sahaja,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: tvstv

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here