PENGARAH Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan ahli parti itu supaya mengekalkan gerak kerja berjemaah dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah, berkata semangat kerja jemaah itu hanya akan terlaksana sekiranya jentera PAS akur dan menuruti arahan pimpinan parti.
Katanya, menerusi konsep bekerja ‘wehdatul fikr, wehdatul amal’ serta bersatu-padu tidak mustahil kemenagan mampu berpihak kepada parti itu.
“Kena ikut dan buat apa yang disusun dan diarahkan oleh pimpinan. Pimpinan memberi pengarahan. Jentera laksana arahan. Itu yang dinamakan jemaah,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Terdahulu, beliau menghadiri pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Bagan Serai, Perak semalam.
Beliau berkata, kehadiran yang ramai semalam membuktikan sikap ahli PAS yang komited untuk menyaksikan kemenangan parti itu pada PRU15.
“Takdak sapa pi dok ligan mai (tiada siapa yang paksa hadir). Kita mai (datang) dengan niat nak menangkan parti kita. Maka jagalah hati (niat).
“Dengan kekuatan yang banyak itu, bersatu padu, bekerja dengan ‘wehdatul fikr, wehdatul amal’. InsyaAllah Allah rezekikan kemenangan,” katanya.
Pada PRU15 ini, PAS dijangka akan kekal bersama Perikatan Nasional (PN) untuk merencana gerak kerja pilihan raya.
Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, secara dasarnya parti itu bersetuju untuk menggunakan logo baharu PN menghadapi PRU15 nanti.
Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, meskipun akan menggunakan logo baharu selepas ini namun ia tidak bermakna parti itu menolak Muafakat Nasional (MN). – Malaysiapost

