Umno berjaya tangguh pemilihan parti, bukti PM tak kecewakan akar umbi

0
1

KELULUSAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membenarkan Umno meminda perlembagaan dan menangguhkan pemilihan parti adalah bukti segala tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memihak kepada Umno.

Exco Pemuda Umno, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris, berkata ia sekaligus menepis dakwaan mengatakan Ahli Parlimen Bera itu mahu pemilihan parti diadakan segera kerana mahu menjadi Presiden Umno.

“Semasa Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas, Ismail Sabri menyokong usul pindaan Perlembagaan Umno bagi penangguhan pemilihan di semua peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Bahagian dan Cawangan.

“Sekarang mana perginya suara sumbang dan tin kosong yang selama ini mengatakan Ismail Sabri mahukan pemilihan parti dahulu kerana beliau mahu menjadi Presiden Umno.

“Satu per satu tindakan Ismail Sabri memihak kepada Umno. Hingga Bersatu berasa kecewa dan tidak henti mengugut Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Najmil Faiz menyifatkan, semua tindakan yang dilakukan adalah seni politik Naib Presiden Umno berkenaan yang bijak dan cermat.

“Walaupun beliau (Ismail Sabri) memimpin kerajaan yang dianggotai Bersatu, namun tidak pernah sesekali beliau membelakangi Umno malah menguntungkan parti.

“Perdana Menteri turut menunaikan janjinya di mana Ran Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti telah pun lulus dan sekali gus menjadikan Umno sebagai pelopor dalam reformasi institusi seperti yang dipersetujui dalam Mesyuarat MKT Umno pada 27 Ogos 2021.

“Saya harap golongan yang memecah belahkan Umno ini sedar dan bertaubat. Mereka sepatutnya meminta maaf kepada Ismail Sabri,” katanya.

Beliau berkata, sekarang adalah masa untuk Umno bersatu dan memperkukuhkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Terima kasih Ismail Sabri kerana telah membuktikan beliau adalah pemimpin Umno sejati yang sentiasa mendahulukan kepentingan Umno berbanding peribadi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here