PUTERI Umno menyeru Pilihan Raya Umum ke-15 segera diadakan sekali gus menuntut Barisan Nasional (BN) menghentikan melayan kerenah parti lawan yang sengaja mahu melenggahkannya.
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, PRU-15 perlu diadakan segera berikutan momentum kini berada di pihak BN.
“Hari ini adalah tarikh terakhir MOU (perjanjian persefahaman kerajaan dan Pakatan Harapan untuk) tidak ada pilihan raya sebelum 31 Julai.
“Ertinya pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa. Kami mahu pilihan raya diadakan segera dan jangan sesekali melayan kehendak pembangkang dan juga Bersatu yang mahu melengah-lengahkan pilihan raya sehingga hujung penggal,” katanya.
Zahida berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Puteri BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Konvensyen yang disempurnakan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu dihadiri Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, dan ketua sayap parti komponen serta parti gabungan (Friends of BN).
Menjelaskan mengenainya, Zahida berkata, BN perlu bertindak pantas dan jangan menunggu sehingga parti lawan bergabung untuk mengadakan PRU-15.
“Kenapa kita perlu tunggu mereka bergabung, baharu kita nak serang, jangan kita berikan mereka vitamin untuk mereka lebih kuat. Bodohlah kita, tidak menyerang ketika musuh kita lemah,” katanya.
Menyentuh mengenai Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan anti lompat parti, Zahida berkata, Bersatu adalah sarang pengkhianat yang tidak perlu dilayan.
“Tahniah, diatas kejayaan meminda perlembagaan bagi membolehkan akta anti lompat parti diadakan.
“Kami tidak sabar menunggu pilihan raya diadakan segera. Kami tidak sabar untuk melihat katak pengkhianat termasuk bekas pemimpin pergerakan Puteri Umno sendiri, ditanam politiknya,” katanya.
Sementara itu, beliau memohon agar Ahmad Zahid mengajukan kepada Dewan Tertinggi BN untuk segera mewujudkan secara rasminya Sayap Puteri BN.
“Kita mahu dalam PRU akan datang, di barisan depan wanita muda itu adalah Puteri BN. Kita mahu wajah-wajah itu adalah wajah wanita muda berbilang kaum yang mewakili Puteri BN,” katanya. – Malaysiapost

