Lelaki pecah cermin kereta, ugut pemandu diburu polis

0
2

POLIS sedang mengesan seorang lelaki yang memecahkan cermin kereta dan mengugut seorang pemandu wanita dalam kejadian di Simpang Empat Limbat, Kota Bharu, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata pihaknya sudah mengenal pasti suspek yang berusia 40 tahun selepas menerima laporan daripada mangsa yang berusia 35 tahun.

Katanya, susulan itu, pihaknya membuat serbuan ke sebuah rumah di Nilam Puri kira-kira jam 2.30 pagi namun lelaki itu telah menghilangkan diri.

“Mengikut keterangan mangsa semasa dia sedang memandu sebuah kereta Perodua Axia berseorangan, dan kenderaannya telah dihimpit sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu suspek kira-kira jam 5.45 petang.

“Suspek kemudian secara tiba-tiba telah menghalang laluan dan berhenti di tengah jalan sebelum menghampiri kenderaan mangsa lalu memecahkan cermin kereta (bahagian pemandu) serta mengugut mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Zaki berkata, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan telah digerakkan bagi mengesan dan memburu suspek.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 279 KK dan Seksyen 427 KK.

Beliau turut mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak bertindak mengikut perasaan tanpa pertimbangan yang sewajarnya.

Terdahulu, tular video di media sosial berdurasi dua minit 17 saat yang dirakam oleh mangsa selepas kereta dipandunya dihimpit sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Menerusi video itu, memaparkan suspek keluar dari kenderaan lalu bertindak memecahkan cermin kereta mangsa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here