RUU Anti Lompat Parti: Bukti PM, Umno komited laksana reformasi politik

0
1
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=265726422223393&set=pb.100063581116671.-2207520000..&type=3

RANG Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang diluluskan Dewan Rakyat semalam membuktikan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Umno dalam melaksanakan reformasi dan memulihkan institusi politik negara.

Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata ia juga dapat mengekang prinsip moral kepartian dan pengkhianatan mandat rakyat yang diperkotak-katikkan ahli politik.

Jelasnya, ini kerana lompat parti merupakan faktor utama rakyat hilang kepercayaan pada ahli politik di negara ini.

“Sikap tidak bertanggungjawab segelintir ahli politik ini hanya menzahirkan nilai diri mereka yang bagaikan ‘sesumpah’ dan sedia berubah warna demi kepentingan politik peribadi mereka.

“Tambahan pula ahli politik kita dihantui agenda ‘scheme of things’ oleh pihak tertentu yang menggoda mereka dengan pangkat, jawatan dan wang ringgit, atau mengugut mereka dengan pendakwaan terpilih dan pelbagai tekanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya lagi, RUU itu juga dilihat berupaya mencegah ahli politik dari meletakan ‘tanda harga diri’ sekali gus dapat membersihkan imej dan persepsi profesion mereka di mata rakyat khususnya orang muda.

“Terima kasih kepada 209 Ahli Parlimen, termasuk ‘katak-katak politik’ yang menyokong RUU berkenaan semalam, ia sekali gus menandakan tindakan segelintir ahli politik yang melompat parti sebelum ini adalah bertentangan denga prinsip moral dan budaya politik yang sebenar.

“Semoga politik Malaysia kembali dilihat bersih dan Umno terus menjadi peneraju reformasi institusi dan sistem pentadbiran negara dan kerajaan pada masa hadapan,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun sewaktu membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir dalam bacaan kali ketiga usul berkenaan hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here