PRU15: Formula ‘kerusi selamat’ tidak lagi praktikal di Johor – Hasni

0
1

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, formula mengekalkan kerusi tradisi atau ‘kerusi selamat’ tidak boleh lagi diguna pakai sekiranya BN negeri itu mahu menang majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hasni berkata, kemenangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini tidak akan dapat dilakar semula dalam PRU15 jika masih menggunakan formula itu.

Bekas Menteri Besar Johor itu, ini kerana terdapat kawasan yang tidak lagi menjadi ‘simpanan tetap’ gabungan itu seperti di Johor timur antaranya di Parlimen Pengerang, Kota Tinggi, Tenggara dan Mersing.

“Saya tidak menolak terdapat kemungkinan-kemungkinan di sesetengah kerusi cabaran bertanding adalah lebih berbanding tempat lain. Menjelang PRU15 ini kita tidak boleh mengambil mudah setiap kerusi yang dipertandingkan.

“Di Johor kita tidak menggunakan pendekatan kerusi tradisi. Jadi kita kena kerja kuat di semua kerusi. Kita tidak mahu pengalaman di Mersing sebagai contoh apabila hilang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau (dalam PRN Johor),” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor berkata, setiap bahagian BN di negeri itu perlu menggunakan kaedah yang berbeza terutama melibatkan pembahagian kerusi dalam menarik sokongan rakyat.

Selain itu katanya, jentera BN perlu digerakkan dalam masa terdekat dan pada masa sama pucuk pimpinan BN sudah memaklumkan gabungan tersebut sudah boleh berbincang mengenai pengagihan 26 kerusi Parlimen di Johor.

“Pengagihan kerusi mengikut parti-parti dalam BN antara Umno, MCA dan MIC. Itu kita kena putuskan dahulu dan ketika ini ia masih di peringkat perbincangan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here