Kerajaan tubuh pasukan khas tangani krisis populasi Harimau Malaya

0
1

KERAJAAN memandang serius krisis kepupusan spesis harimau dan komited memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya di negara ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata bagi tujuan itu Jemaah Menteri pada 16 Jun lalu bersetuju dengan sembilan tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya untuk tempoh 10 tahun bermula tahun 2021 hingga 2030.

“Antaranya ialah menubuhkan Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MyTTF) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri) bagi menunjukkan kesepakatan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya.

“Mesyuarat Pertama MyTTF yang diadakan pada 10 Januari 2022 antaranya telah bersetuju untuk menghentikan penurunan populasi Harimau Malaya melalui rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground),

“..mengukuhkan habitat semula jadi Harimau Malaya melalui pengurusan guna tanah yang mampan serta memperkasakan instrumen kewangan inovatif dan skim akreditasi habitat Harimau Malaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu sempena Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun oleh negara-negara Tiger Range Countries (TRC) termasuk Malaysia sejak tahun 2010.

Ia merupakan acara tahunan bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia mengenai kepentingan menjaga, memelihara dan memulihara spesies harimau.

Takiyuddin berkata, kepupusan Harimau Caspian, Bali dan Java perlu dijadikan ikhtibar agar tidak berlaku kepada Harimau Malaya di negara ini.

“Sama ada sedar atau tidak, manusia menjadi antara penyebab kepada kepupusan Harimau Malaya. Pengurangan populasi Harimau Malaya adalah disebabkan antaranya kehilangan habitat dan sumber makanan akibat aktiviti pembukaan hutan dan perubahan guna tanah.

“Selain itu, Harimau Malaya juga menjadi sasaran utama aktiviti pemburuan dan perdagangan haram disebabkan permintaannya yang tinggi di pasaran gelap,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, sempena tema ‘mengukuhkan kerjasama demi masa depan Harimau Malaya’, beliau menyeru semua pihak termasuk badan korporat dan badan bukan kerajaan berganding bahu melindungi dan memulihara Harimau Malaya

“Saya percaya penglibatan kolektif semua pihak akan menjadi pemangkin kepada pengukuhan usaha-usaha konservasi Harimau Malaya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here