‘Tidak perlu risau lagi tersalah undi katak politik’ – Guan Eng

0
1

RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang diluluskan hari ini, adalah hasil daripada memorandum persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Menurutnya Ahli Parlimen Bagan itu, dengan adanya RUU berkenaan rakyat tidak perlu risau lagi tersalah undi ‘katak’ politik.

“Hari yang bersejarah di Parlimen dengan pindaan perlembagaan yang melarang Ahli Parlimen melompat parti diluluskan melalui undian 209-0.

“MoU yang ditandatangani PH dengan Perdana Menteri telah membuahkan hasil untuk rakyat Malaysia! Tidak perlu risau lagi tersalah undi katak politik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) pula berpendapat RUU berkenaan adalah satu lagi kejayaan besar kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Seramai 209 Ahli Parlimen rentas parti sebulat suara menyokong usul pinda perlembagaan yang dibawa Perdana Menteri bagi membolehkan undang undang menghalang amalan lompat parti.

“Satu lagi kejayaan besar transformasi Parlimen dicipta oleh kepimpinan Ismail Sabri. Terbukti kepimpinan kerajaan Keluarga Malaysia merupakan kerajaan yang paling berjaya melakukan pelbagai tindakan demi negara yang lebih baik,” katanya.

Bagi Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), kelulusan berkenaan adalah kemenangan kepada rakyat.

“Rakyat 1 – 0 Katak” ciapnya ringkas di Twitter.

Sementara itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Muar dalam ciapan di Twitter turut menyifatkan kelulusan RRU berkenaan adalah hari yang bersejarah buat negara.

“Akta lompat parti diluluskan oleh 209 Ahli Parlimen. Hari yang baik untuk demokrasi,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat mencatat sejarah hari ini apabila meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun sewaktu membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir dalam bacaan kali ketiga usul berkenaan hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here