‘Asyraf Wajdi jangan sombong’ – Dr Afif

0
1

TIMBALAN Pengerusi Biro Penerangan Bersatu, Dr Afif Bahardin menasihati Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya tidak bersikap sombong susulan kenyataannya yang menggesa Perikatan Nasional (PN) untuk segera menarik sokongan terhadap kerajaan.

Beliau berkata, Ketua Pemuda Umno itu perlu sedar bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada di jawatan beliau adalah kerana sokongan daripada PN iaitu parti terbesar kerajaan hari ini.

“Ini adalah hakikat dan fakta yang harus diterima beliau sebagai Ketua Pemuda Umno.

“Maka adalah tidak salah untuk Perikatan Nasional membangkitkan rasa kecewa mahupun keresahan atas apa jua persetujuan dan perjanjan yang telah dicapai oleh PM bersama pimpinan Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Afif berkata, sindiran Asyraf Wajdi seolah-olah agar PN segera menarik sokongan adalah bukti betapa ketidakmatangan beliau dalam politik dan hanya mementingkan segelintir kelompok sendiri.

Katanya, perkara itu amat menjengkelkan kerana Asyraf Wajdi didakwa sanggup mengetepikan soal masalah rakyat demi merealisasikan percaturan politik Umno dengan mengadakan pilihan raya.

“Amat menjengkelkan apabila sebagai seorang Ketua Pemuda sebuah parti ultra-Melayu; ratib dan zikir beliau saban minggu adalah menjurus ke arah memecahbelah kesepakatan yang dibentuk dalam Kerajaan hari ini

“(Iaitu) antara parti-parti utama Bumiputera negara iaitu, Bersatu, PAS, Umno, GPS, PBRS dan STAR,” katanya.

Malah, katanya, Asyraf Wajdi juga mengenepikan kepentingan rakyat dan proses pemulihan ekonomi negara untuk agenda tertentu.

“Yang penting pada beliau adalah agenda untuk membolehkan kluster Mahkamah menyegerakan pilihanraya wajib terlaksana.

“Saat rakyat mahukan ahli politik fokus pada soal dasar dan pemulihan ekonomi rakyat, yang beliau mahukan adalah perpecahan dan ketidakstabilan terus berlaku di dalam kesepakatan kerajaan hari ini,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan Asyraf Wajdi untuk memberi fokus membantu Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak untuk membersihkan diri daripada segala tuduhan salah guna kuasa dan rasuah kerana menyeleweng dana rakyat dan negara.

“Serahkan soal mentadbir kepada Perdana Menteri dan barisan kabinet kerana saya yakin, mereka lebih maklum bagaimana untuk menyelesaikan apa jua isu yang berlaku di dalam kesepakatan ini tanpa perlunya Dr Asyraf mengugut kami untuk tekan butang itu dan ini,” katanya.

Terdahulu, Asyraf Wajdi menyarankan agar PN segera menekan ‘butang’ dan tidak perlu berterusan mengugut Perdana Menteri.

Gesaan itu dibuat susulan kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, hari ini yang menzahirkan rasa kecewa PN terhadap tindakan Ismail Sabri Yaakob yang dilihat tidak bersungguh memenuhi terma dalam perjanjian dengan parti itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here