Adakah MoU masih berkuatkuasa atau terbatal, soal pemimpin PKR

0
1

PENGARAH Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mempersoalkan sama ada memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang masih lagi berkuatkuasa atau sudah terbatal.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tidak ada lagi perjanjian atau MoU baharu antara kerajaan dan pembangkang.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut memetik perkara 2.1 dalam MoU tersebut iaitu:

“Memorandum Persefahaman ini hendaklah berkuatkuasa daripada tarikh perjanjian ini ditandatangani dan hendaklah terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14,” tulisnya dalam hantaran di Facebook.

Fahmi berkata, berdasarkan perkara 2.1 jelas membawa maksud MoU sedia ada itu kekal berkuatkuasa sehingga Parlimen dibubarkan.

“Bila Parlimen boleh dibubarkan? Perkara 3.1 MoU berkata:

“Kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 haribulan Julai 2022.”

“Maka berdasarkan MoU yang masih berkuatkuasa ini, Parlimen boleh dibubarkan bila-bila masa selepas 31 Julai ini.

“Dan selagimana Parlimen belum dibubarkan, MoU yang sedia ada ini akan terus berkuatkuasa,” ujarnya.

Semalam, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan dan dan Pakatan Harapan (PH) sudah mencapai persetujuan supaya tidak ada lagi perjanjian atau MoU baharu dimeterai dua pihak itu selepas ini.

Perdana Menteri berkata, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dengan pembangkang tahun lalu, akan diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Katanya, perkara itu dipersetujui beliau yang mewakili kerajaan dengan pemimpin utama parti pembangkang khususnya PH dalam pertemuannya bersama mereka sebelum ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here