SYED Saddiq Abdul Rahman menyifatkan kegagalan pihak berkuasa menjaga tasik kebanggaan negara dengan baik bagaikan ‘anak di pangkuan dibiarkan, kera di hutan disusui’.
Mengulas mengenai laporan Tasik Chini tidak lagi penuhi kriteria rizab biofesra Unesco, Ahli Parlimen Muar itu berkata negara lebih sibuk melabur jutaan ringgit untuk membina bangunan tinggi.
“Sampai akhirnya, Tasik chini yang diiktiraf status rizab Unesco berisiko hilang statusnya. Di mana fokus kita untuk memelihara khazanah negara?
“Malaysia kaya dengan warisan alam dan budaya. Tetapi makin lama makin lenyap warisan kita. Kampung Baru, terkenal dengan daya tarikan kampung, kini dimodenkan dan berkurang budayanya.
“Carcosa Seri Negara, dahulunya tempat persidangan Raja-Raja Melayu, kini terbiar dan dimamah usia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Baru-baru ini media melaporkan, status rizab biosfera Tasik Chini daripada Unesco kini dalam penelitian dan penemuan awalnya tidaklah menggalakkan.
Tasik itu adalah yang pertama daripada hanya tiga tapak biosfera Malaysia diiktiraf Unesco sebagai sebahagian program manusia dan biosfera (MAB) yang mengkaji dan menambah baik hubungan antara manusia dan alam sekitar melalui pemuliharaan serta penggunaan sumber asli secara mampan.
Menurut tinjauan berkala pertama Unesco mengenai Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) mereka.
Laporan itu menyebut “kawasan hutan yang baru dibersihkan dengan penukaran tanah yang intensif” berlaku, selain mengesan pembukaan semula lombong lama di lokasi sekitarnya.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata tempat-tempat warisan seharusnya diberi perlindungan dan penjagaan yang terbaik.
“Di United Kingdom sudah ada National Trust yang bertanggungjawab memelihara warisan negara.
Malaysia juga mampu ikut jejak sama.
“Bahkan, kita mempunyai kelebihan kepelbagaian kaum, budaya dan adat! Di mana semangat Mat Kilau untuk melindungi khazanah warisan kita. Hilangnya warisan tiada ganti,” katanya. – Malaysiapost

