PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng menyifatkan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr Wee Ka Siong mengamalkan ‘double standard’ berhubung hukuman yang dikenakan antara mat rempit dan pemandu mabuk.
Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa, perkara itu dapat dilihat apabila usaha untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap pelumba haram atau mat rempit hanya diambil selepas menerima desakan pelbagai pihak.
“Hanya selepas tekanan diberikan barulah tindakan diambil. Wee Ka Siong perlu mengaku bahawa dia mengamalkan amalan dua darjat atau “double standard” dengan mendesak hukuman bagi pemanduan mabuk dua kali ganda lebih tinggi daripada perlumbaan haram oleh mat rempit.
Sebelum ini, Guan Eng menegur Ka Siong supaya mendengar pendapat orang ramai yang mahu hukuman lebih keras kepada pelumba haram atau mat rempit.
Guan Eng berkata, aktiviti perlumbaan haram oleh mat rempit jelas berbahaya kepada keselamatan awam, maka hukuman mesti sama seperti dikenakan ke atas pemandu mabuk.
Kelmarin, media melaporkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang mempertimbangkan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pelumba motosikal haram atau ‘mat rempit’ susulan kedegilan golongan itu yang suka menjadikan jalan raya sebagai litar lumba sehingga menyebabkan kematian.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli perkara tersebut akan diputuskan dalam masa terdekat.
“Kita telah mendapat arahan daripada pihak Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula dan memperketatkan semula tindakan-tindakan ke atas penunggang yang melakukan kesalahan membahayakan keselamatan orang awam di jalan raya,” katanya. – Malaysiapost

