Kerosakan pencawang utama di Yong Peng punca bekalan elektrik putus 

0
2

TENAGA Nasional Berhad (TNB) memaklumkan gangguan bekalan di beberapa negeri di Semenanjung tengah hari tadi, berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.   

TNB Careline menerusi kenyataan berkata, kerosakan itu telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung.

“Bagaimanapun, TNB telah berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik kepada semua kawasan yang mengalami gangguan elektrik pada jam 3.02 petang. 

“Kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB,” menurut kenyataan itu.

Justeru, TNB memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan berlaku.

“Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454,” katanya.

Terdahulu, TNB mengesahkan gangguan bekalan elektrik  berlaku di beberapa negeri di Semenanjung, bukan hanya melibatkan Lembah Klang. 

TNB Careline menerusi kenyataan berkata, pihaknya sedang mengenalpasti punca kejadian dan usaha giat dijalankan untuk memulihkan bekalan elektrik di kawasan yang terjejas. 

“Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sedang mengalami gangguan elektrik sejak jam 12.39 tengah hari melibatkan 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here