Pemulihan ekonomi negara terus mengukuh – Muhyiddin

0
1

PEMULIHAN ekonomi negara terus mengukuh walaupun berhadapan cabaran baharu pasca pandemik Covid-19, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata ia termasuk varian Covid-19 yang sentiasa bermutasi serta jangkitan Monkeypox yang baru diisytihar sebagai Public Health Emergency Of International Concern oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Muhyiddin, indikator ekonomi dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jun 2022 merekodkan bahawa Jumlah Dagangan Malaysia meningkat 43.4 peratus dengan nilai RM270.4 bilion. “Sebahagian besar pertumbuhan ini daripada pertumbuhan eksport yang berkembang 38.8 peratus kepada RM146.2 bilion disokong permintaan daripada dalam dan luar negara, pertambahan perbelanjaan sektor swasta dan awam serta pembukaan semula sempadan dan aktiviti ekonomi.

“Ini juga membuktikan negara mempunyai asas kukuh dalam pertumbuhan perdagangan ke arah proses pemulihan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Namun begitu, Muhyiddin berkata sektor pembinaan masih mengalami pengucupan dengan laporan DOSM menunjukkan nilai kerja pembinaan menguncup 6.1 peratus kepada 29.5 bilion berbanding suku tahun sama pada 2021.

Tambahnya, sektor itu juga masih menghadapi cabaran untuk mendapatkan tenaga kerja yang diperlukan selain kini berhadapan kenaikan harga bahan binaan seperti bar keluli, simen, batu baur, pasir dan batu bata.

“Majlis telah berkali-kali membangkitkan isu pekerja asing yang masih tidak dapat memenuhi permintaan industri yang memerlukannya.

“Ini berisiko untuk merencatkan proses pemulihan negara dan perlu diselesaikan oleh kerajaan secepat mungkin,” katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata MPN berpendapat indikator ekonomi yang memberangsangkan akan lebih bermakna_ apabila kesejahteraan dan ekonomi rakyat turut berkembang seiring.

Justeru katanya, semua pemegang taruh harus bekerjasama menangani kenaikan harga terutama barang makanan supaya semua rakyat Malaysia dapat menikmati hasil pemulihan ekonomi pasca pandemik yang lebih menyeluruh dan bermakna.

“Semoga kita semua diberi kekuatan untuk terus menyumbang dalam usaha pemulihan ekonomi negara, insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here