Anwar kutuk hukuman mati 4 aktivis Myanmar oleh junta tentera

0
1

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk pelaksanaan hukuman mati oleh junta tentera Myanmar terhadap empat aktivis pro-demokrasi di negara berkenaan.

Hukuman terhadap aktivis Kyaw Min Yu serta tiga bekas anggota Parlimen Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) iaitu Phyo Zeya Thaw, Hla Myo Aung, dan Aung Thura Zaw itu, disifatkannya sebagai permulaan minggu yang mengecewakan bagi demokrasi di Asia Tenggara.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, empat lelaki berkenaan adalah sebahagian daripada kumpulan 117 orang yang dijatuhi hukuman mati kerana peranan mereka dalam anti-rampasan kuasa dan aktivisme pelajar sejak junta merampas kuasa.

“Keempat-empat mereka telah dinafikan lawatan oleh keluarga mereka, perbicaraan tertutup, dan butiran mengenai kaedah dan masa pelaksanaan hukuman mati mereka juga disekat.

“Keluarga mereka bahkan telah dinafikan mayat orang tersayang dan upacara pengebumian tradisional. Ini adalah hukuman mati pertama yang dijalankan di Myanmar selama hampir 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan amalan kejam seperti itu bukan sahaja satu kemunduran bagi demokrasi di Myanmar, tetapi sesuatu yang memalukan.

“Junta tentera adalah bertentangan dengan semangat demokrasi, bertentangan maruah dan hak asasi manusia, serta nilai tradisi Asia yang menjadi asas bagi ASEAN sepanjang sejarah penubuhannya.

“Saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersama mengecam tindakan pembunuhan keji ini, dan ASEAN mesti menegaskan dengan jelas kepada rejim tentera Myanmar bahawa tindakan sedemikian tidak boleh diterima,” katanya.

Anwar berkata, ketika dunia sedang menghadapi trauma susulan pandemik dan malapetaka ekonomi, kesalahan sedemikian tidak boleh diabaikan kerana mengancam bukan sahaja kebebasan sesetengah orang, tetapi kebebasan semua. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here