Menteri, timbalan menteri bergaji besar, tak faham masalah rakyat

0
1

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman persoal mengapa Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, Kabinet kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempunyai 31 menteri dan 38 timbalan menteri semuanya bergaji besar.

“Semuanya bergaji besar. Rasanya memang tak faham kesusahan rakyat jelata.

“Hampir setahun dah nak berlalu, keadaan negara, ekonomi dan kesejahteraan rakyat makin terjejas,” katanya dalam hantaran Facebook.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata masih belum ada apa-apa rangka kerja berkenaan inflasi selepas Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan.

“Dah berminggu dah sejak tubuh Pasukan Khas. Masih belum ada apa-apa rangka kerja berkenaan inflasi di Malaysia.

“Sampai hari ini juga, kita tak faham kenapa pasukan yang nak lawan harga barang dipengerusikan Menteri Komunikasi.

“Jadi, saya rasa memang patut tuntut potong gaji menteri,” ujarnya.

Pada 29 Jun lalu, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Semalam Annuar yang juga Ketua Umno Ketereh dilaporkan berkata tindakan pemotongan gaji dan elaun menteri serta timbalan menteri yang dicadang beberapa pihak, tidak akan menyelesaikan masalah inflasi yang membelenggu negara dan dunia ketika ini.

Beliau menegaskan, kadar potongan gaji dan elaun anggota Kabinet tidak mencukupi untuk menyelesaikan isu inflasi dan kenaikan harga barang.

Justeru, beliau menggesa pihak yang mengusulkan cadangan pemotongan gaji dan elaun berkenaan untuk ‘berhenti bermain politik’ dan memberi fokus pada kaedah yang benar-benar mampu menyelesaikan isu inflasi secara tuntas.

“Boleh kamu namakan satu negara yang dapat menurunkan kadar inflasi menerusi pemotongan (gaji dan elaun menteri)?,” kata Annuar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here