KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan melahirkan kebimbangannya terhadap rakan sejawatnya daripada Umno, Shahril Hamdan yang juga Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri.
Menurutnya, ia susulan media hari ini melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu Shahril turut menerima sumbangan dana RM1. 6 juta secara bulanan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).
Susulan itu, Wan Saiful mempertikai integriti Shahril dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengarah ekonomi di pejabat Pedana Menteri.
Pada masa sama, Wan Saiful mempertikai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang masih lagi mengekalkan jawatan pengarah berkenaan sedangkan kerajaan telah mengambil langkah penjimatan dalam segenap urusannya.
“Apa sebenarnya yang Shahril Hamdan buat sebagai Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri?
“Kementerian Kewangan sudah ada. Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri juga sudah ada. Tak perlu jawatan tambahan untuk ‘spy’ Zahid Hamidi ini.
“Kerajaan kata nak buat penjimatan. Perdana Menteri boleh mulakan dengan mansuhkan jawatan Pengarah Ekonomi kerana ia menjadi salah satu lambang keborosan untuk manfaat kluster mahkamah dalam UMNO dan pengikut mereka,” katanya.
Terdahulu, dalam perbicaraan pendakwaan melibatkan kes Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, memberitahu mahkamah sumbangan diberi secara bulanan kepada Shahril merujuk kepada kod nama ‘S Pat’ dalam buku lejar syarikat berkenaan. – Malaysiapost

