Wan Junaidi beri jaminan RUU Anti Lompat Parti disokong Ahli Parlimen Kerajaan

0
1

DATUK Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi bayangan semua Ahli Parlimen kerajaan akan menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata, RUU yang akan dibentang di Dewan Rakyat Rabu ini dijamin mendapat sokongan terutama daripada Ahli Parlimen Umno dan Bersatu.

Ia susulan perkembangan positif yang ditunjukkan dalam sesi taklimat dan libat urus RUU itu membabitkan Ahli Parlimen kerajaan hari ini.

Dalam sesi libat urus itu, katanya, hanya sejumlah kecil soalan dibangkitkan berikutan RUU itu sudah melalui proses perbincangan mendalam dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Dalam sesi libat urus tadi, memang tiada (penentangan dan penolakan terhadap RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022) kerana semua orang menunggu RUU ini.

“Ada tiga, empat persoalan dibangkitkan tadi tetapi kebanyakannya berhubung dengan hal ehwal dalam Dewan, misalnya Ahli Parlimen minta diberi tempoh sekurang-kurangnya 10 minit untuk membahaskan RUU ini.

“Jadi, saya akan berbincang dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berhubung perkara ini,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Bersatu secara kolektif tidak bersetuju dengan syarat kerusi dikosongkan bagi mana-mana Ahli Parlimen yang dipecat kerana melompat parti, sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan laporan berkenaan dan menegaskan komitmen parti itu dengan menghantar wakil ke sesi perbincangan mengenai RUU terbabit.

Wan Junaidi menjelaskan, Ahli Parlimen kerajaan turut membangkitkan persoalan sama ada RUU itu mengikat Ahli Parlimen dengan pendirian parti dalam menyokong usul tertentu seperti di India, namun beliau memaklumkan undang-undang di Malaysia berbeza dan lebih liberal.

“Jika Ahli Parlimen tidak menyokong pendirian parti atau gabungan parti dalam usul tertentu, ia tak menjadi satu kesalahan. Ini tidak sama seperti di India, di mana keputusan bertentangan dengan kemahuan parti boleh menyebabkan Ahli Parlimen terkeluar parti.

“Kita tidak tetapkan kuasa pada Whip parti untuk tentukan jenis usul yang perlu disokong. RUU kita lebih liberal daripada sudut itu,” katanya.

Jelasnya, RUU yang akan dibentang oleh Perdana Menteri Datul Seri Ismail Sabri Yaakob itu juga hanya tertakluk pada anggota Dewan Rakyat, dan tidak merangkumi senator lantikan parti di Dewan Negara.

Selain itu, katanya, RUU berkenaan turut menggubal undang-undang yang boleh dikuatkuasakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Sultan atau Yang di-Pertua Negeri bersetuju untuk melaksanakan RUU terbabit.

“Untuk peringkat DUN, kita pinda Jadual Kelapan. Tapi, penguatkuasaannya di peringkat negeri hanya akan dibuat selepas perbincangan antara Yang di-Pertuan Agong dengan Sultan dan Yang di-Pertua Negeri.

“Dalam RUU ini, ada kerangka undang-undang yang boleh diterima pakai di peringkat negeri jika mereka setuju untuk laksanakannya, jika setuju hanya perlu gazet dan dibawa ke DUN untuk diluluskan,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here