Ka Siong kena dengar pendapat, hukuman lebih berat terhadap mat rempit

0
1

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong perlu mendengar pendapat orang ramai yang mahu hukuman lebih keras kepada pelumba haram atau mat rempit.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata aktiviti perlumbaan haram oleh mat rempit jelas berbahaya kepada keselamatan awam, maka hukuman mesti sama seperti dikenakan ke atas pemandu mabuk.

“Ka Siong tidak sepatutnya terlepas pandang masalah lebih besar dengan menegaskan penalti lebih berat dikenakan ke atas mat rempit sedangkan ia masih tidak boleh dibandingkan dengan penalti dikenakan ke atas pemanduan mabuk.

“Ka Siong juga memilih untuk tidak membuat sebarang komen atas kapasitinya sebagai Menteri Pengangkutan mengenai insiden tragis perlumbaan haram oleh penunggang motosikal di Lebuhraya Tun Lim Chong Eu di Pulau Pinang yang menyebabkan lima maut dan dua cedera pada 17 Julai,” katanya di laman Facebook miliknya, hari ini.

Justeru, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP menggesa Ka Siong tidak bermain politik berkenaan isu perlumbaan haram yang semakin berani menunjukkan belang mereka di jalan raya.

“Ka Siong harus menghentikan sandiwara politiknya tetapi menunjukkan kemahuan politik untuk menyelesaikan “ancaman mat rempit” ini yang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai barah dalam masyarakat.

“Dengan lebih banyak kematian disebabkan oleh mat rempit daripada memandu dalam keadaan mabuk, Ka Siong seharusnya membuat keputusan berdasarkan data dengan menunjukkan kemahuan dan keberanian politik untuk menghukum dan menyelesaikan ancaman mat rempit demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng membidas Ka Siong kerana gagal memberi jawapan yang memuaskan mengenai hukuman yang tidak setimpal dikenakan kepada pelumba haram berbanding pemandu mabuk.

“Jawapan Menteri Pengangkutan kepada saya semalam gagal menjelaskan mengapa beliau mendiskriminasi pemanduan mabuk dengan mengenakan penalti yang lebih berat ke atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk berbanding mereka yang terlibat dalam perlumbaan haram oleh mat rempit.

“Ka Siong sebaliknya menggunakan naratif palsu bahawa saya tidak tahu tentang pindaan kepada Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang meningkatkan penalti bagi pemanduan melulu sehingga menyebabkan kematian, untuk mengalih perhatian daripada kegagalan Ka Siong untuk mengenakan hukuman berat yang sama ke atas pemanduan mabuk kepada perlumbaan haram oleh mat rempit,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here