LEBIH 2,000 penduduk kampung di Kelantan dapat menonton filem pecah panggung Mat Kilau yang ditayangkan secara tertutup di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Kota Bharu, malam tadi.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, berkata tayangan filem berkenaan adalah sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia.
“Syukur kerana dapat juga orang kampung menonton filem Mat Kilau malam tadi.

“Tayangan secara tertutup di majlis Malam Patriotik di kompleks YKK dihadiri lebih 2000 penonton sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau turut berkongsi beberapa gambar sempena tayangan filem berkenaan termasuk kedudukan kerusi penonton wanita dan lelaki yang diasingkan.
Rata-rata komen di hantaran itu memuji usaha Annuar dalam mengadakan tayangan filem berkenaan di Kelantan yang setelah hampir 30 tahun tidak mempunyai pawagam.
“Alhamdulillah, terima kasih Tan Sri…walaupun Kelantan tiada panggung wayang tapi dengan kecanggihan dan berkat multimedia di bawah kementerian Tan Sri, Kelantan dapat juga menonton Mat Kilau.

“Harap semangat Mat Kilau dalam filem tu meresap ke jiwa kita semua,” kata Rossiati Hamzah.
Mesrasokmo Myuss pula berkata, sejak sekian lama Kelantan tiada panggung wayang, buat pertama kalinya dapat menonton wayang di negeri berkenaan.
“30 tahun orang Kelantan tak boleh tengok wayang sekarang panggung wayang pertama selepas 30 tahun,” katanya.-Malaysiapost

