MPP UMT kecam perhimpunan #Turun didalangi PKR

0
1

MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP)Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengecam serta menentang perhimpunan #Turun yang berlangsung semalam dipercayai didalangi PKR.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, MPP UMT itu menasihati mahasiswa universiti itu supaya tidak menyertai aktiviti sedemikian.

Katanya, mahasiswa yang terlibat dengan perhimpunan berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Tindakan tegas mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) juga boleh dikenakan terhadap mereka yang didapati melanggar akta berkenaan.

“MPP UMT menasihatkan mahasiswa UMT untuk terus bersikap matang dan bijaksana dalam menentukan perkara yang salah disisi undang-undang serta perlu menggunakan platform yang sebenar dalam menyuarakan pandangan serta masalah mereka kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Semalam media melaporkan melaporkan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Turun, berkumpul di luar kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, bagi mendesak kerajaan bertindak untuk menangani kenaikan harga barang sekarang.

Turut serta dalam perhimpunan itu seorang wakil rakyat PKR, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid, aktivis pelajar dan ahli politik belia.

Sementara itu, MPP UMT berkata, mereka mengambil maklum bahawa isu kenaikan harga barangan sedang berlaku dan memberi kesan secara langsung kepada seluruh Keluarga Malaysia terutamanya golongan mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT).

Dalam keadaan itu MPP UMT berkata mereka sangat yakin isu tersebut dapat ditangani oleh kerajaan sekarang.

“Isu kenaikan harga ini dikatakan menjadi pemasalahan global dan tidak hanya berlaku di Malaysia. Tidak dinafikan, pelajar IPT turut terkesan dengan fenomena global ini terutama pelajar dari golongan B40.

“Justeru itu, MPP UMT yakin kepimpinan negara diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang mengambil langkah terbaik dalam menangani isu ini,” katanya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here