Lelaki samun sebelum bakar kedai – Polis

0
1

Ben Ibrahim 

POLIS memaklumkan insiden kebakaran yang menyebabkan seorang wanita cedera di Felda Tersang, Raub awal pagi tadi, berpunca daripada jenayah samun dan khianat menggunakan api. 

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Kama Azural Mohamed, berkata pihaknya mendapat petunjuk itu hasil siasatan awal dijalankan. 

“Anggota kami yang bertugas di Balai Polis Cheroh menerima laporan daripada orang awam mengenai kebakaran di premis itu kira-kira jam 4 pagi. 

“Menurut mangsa, wanita yang bekerja di kedai terbabit, dia mendakwa seorang lelaki memakai topeng memasuki premis itu antara jam 1 pagi hingga 2 pagi untuk menyamun. 

“Suspek kemudiannya memukul mangsa pada bahagian kepala dan muka sebelum membakar kedai terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Kama Azural berkata, pihaknya sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 394/435 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan khianat menggunakan api. 

Katanya, wanita itu turut memberitahu, suspek memukul mangsa menggunakan sebatang besi dan melarikan wang tunai berjumlah RM1,700 yang berada dalam laci kedai itu. 

“Dua utas gelang emas milik mangsa turut dilarikan suspek. Mangsa juga mendakwa melihat suspek membakar kedai itu sebelum melarikan diri,” katanya. 

Dalam kejadian awal pagi tadi, seorang wanita dipercayai pekerja kedai runcit mengalami kecederaan dalam kebakaran membabitkan dua premis kedai di Felda Tersang, dekat Raub, Pahang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here