SEORANG bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank yang bergelar Datuk, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes penerimaan rasuah lebih RM24 juta sebagai balasan meluluskan pinjaman RM294 juta yang dibuat sebuah syarikat tempatan.
Lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu adalah suspek keempat yang ditahan selepas tiga individu, termasuk seorang CEO wanita direman berkaitan kes sama pada 19 Julai lalu, lapor Berita Harian.
Majistret R Prabakaran membenarkan suspek direman bermula hari ini hingga Isnin selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan itu di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut sumber, bekas CEO itu ditahan di rumahnya di Ipoh, Perak, kira-kira jam 4 petang semalam.
Sementara itu di mahkamah sama, Majistret turut membenarkan suspek wanita yang juga CEO sebuah syarikat, disambung reman selama tiga hari bermula hari ini, manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan masing-masing dikenakan ikat jamin RM15,000.
Sumber sama juga memaklumkan setakat ini, pasukan siasatan dikatakan sudah berjaya mendapatkan semula hampir keseluruhan wang berjumlah RM24 juta terbabit hasil penyitaan wang serta aset walaupun kes berlaku kira-kira 10 tahun lalu.
Katanya, difahamkan pihak SPRM sudah membekukan sejumlah 22 akaun bank milik individu dan syarikat dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu, membabitkan jumlah kira-kira RM6.3 juta.
“Pasukan siasatan juga dikatakan berjaya mengesan wang kira-kira RM16.3 juta yang disimpan suspek utama di negara jiran,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, kesemua wang berjumlah RM22.6 juta itu dibekukan untuk tindakan lanjut, dan operasi berkenaan masih giat dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Perak dan Sabah.
“Wang terbabit berjaya dikesan selepas pasukan siasatan melakukan analisis data menjejaki aset,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Selasa lalu, SPRM menahan tiga individu termasuk CEO anak syarikat sebuah bank, yang kemudian direman lima hari bagi membantu siasatan kes penerimaan rasuah lebih RM24 juta.
Mereka adalah CEO wanita berusia 50-an, lelaki berusia 58 tahun yang tidak bekerja, dan perunding kewangan berumur 53 tahun. – Malaysiapost

