SESI taklimat tertutup mengenai tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu berjalan lancar di sebuah hotel di ibu negara malam tadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sesi berkenaan diadakan bersama Menteri-Menteri, Ahli Parlimen dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.
“Alhamdulillah, sesi taklimat tertutup mengenai isu tuntutan pihak mendakwa waris kesultanan sulu berjalan lancar malam tadi.
“Taklimat yang berjalan selama dua jam itu melibatkan sesi penerangan dan soal jawab,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan taklimat tertutup berkenaan adalah bagi menerangkan langkah-langkah yang sedang dilaksanakan serta kesungguhan Kerajaan dalam menjaga aset dan kedaulatan negara.
Media semalam melaporkan satu sesi taklimat tertutup kepada Ahli Parlimen akan diadakan berhubung isu tuntutan daripada pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.
Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata taklimat itu akan disampaikan oleh Wan Junaidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Isnin lalu, Dewan Rakyat kecoh selepas Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati mengenai usul berhubung tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah ditolak sebanyak tiga kali oleh Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Azhar kemudian menjelaskan, beliau menolak usul berkenaan kerana ia bersifat subjudis dan semalam, beliau berkata, perbahasan usul itu boleh mendedahkan strategi pasukan perundangan kerajaan kepada pihak musuh. – Malaysiapost

