Hutang kerajaan cecah RM1.045 trilion

0
1

HUTANG kerajaan kini berjumlah RM1.045 trilion atau 63.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) setakat Jun tahun ini, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, RM43.1 bilion atau 18.4 peratus, daripada anggaran jumlah hasil kerajaan, diperuntukkan untuk bayaran khidmat hutang Kerajaan Persekutuan untuk 2022.

Katanya, sehingga akhir Jun 2022, sebanyak RM19.8 bilion telah dibelanjakan bagi tujuan pembayaran faedah ke atas hutang terkumpul kerajaan persekutuan.

“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa komited dalam memastikan pembayaran faedah dilakukan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Karupaiya Mutusami (Pakatan Harapan – Padang Serai) di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Tengku Zafrul berkata, bayaran khidmat hutang ini diperuntuk sebagai item tanggungan T13 iaitu salah satu perbelanjaan tanggungan yang diberi keutamaan terlebih dahulu daripada item perbelanjaan yang lain.

“Seperti yang termaktub di bawah Perkara 98(1)(b) Perlembagaan Persekutuan iaitu segala caj hutang adalah di bawah tanggungan kerajaan persekutuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here