SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Idris Shah mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura hari ini dengan melawat Institut Yusof Ishak (ISEAS) di National University of Singapore.
Menerusi kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim, lawatan Baginda berdua ke ISEAS yang dinamakan sempena Presiden Pertama Singapura, Yusof Ishak, cukup bermakna kerana institut berkenaan mempunyai khazanah dokumen dan peta sejarah, termasuk yang berkaitan dengan Johor dan Malaysia.
“Sultan Johor dan Permaisuri berkenan meluangkan masa lebih sejam di ISEAS, dengan dipersembahkan taklimat mengenai beberapa judul buku, surat, dokumen dan peta tertua yang terdapat di institut berkenaan,” menurut kenyataan berkenaan.
Institusi penyelidikan itu, yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Singapura, menjalankan pelbagai program penyelidikan; mengadakan persidangan, bengkel, syarahan dan seminar; serta menerbitkan jurnal penyelidikan dan buku.
“ISEAS secara tidak langsung mempunyai koleksi pelbagai bahan serta sumber tentang Malaysia dan Johor, yang turut menarik perhatian Baginda berdua.
“Sebaik selesai mengadakan lawatan di ISEAS, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofia berkenan berangkat balik ke Johor Bahru,” katanya. – Malaysiapost

