
KUALA LUMPUR, 1 Mac -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bercakap pada sidang media bersama para Pimpinan PAS Pusat berikutan perkembangan isu politik semasa di Malaysia hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
PAS masih mengharapkan dapat memasuki Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi kerjasama dalam Perikanan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata parti itu tidak berganjak daripada agenda perpaduan ummah di negara ini.
“Kita tidak berganjak dengan agenda perpaduan ummah dan kerjasama dengan MN masih diteruskan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.
Abdul Hadi berkata, pada dasarnya PAS juga bersetuju untuk menggunakan logo PN baharu, walaupun ia masih dalam peringkat perbincangan.
Mengulas mengenai penggunaan logo lain jika PAS masih bersama MN, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, berkata isu itu boleh dibincangkan kemudian.
Mengenai pengagihan kerusi sebagai persiapan menghadapi PRU akan datang, Abdul Hadi berkata, rundingan pengagihan kerusi sentiasa dibincang dari masa ke semasa.
“Walaupun tarikh PRU belum diumumkan, tetapi perbincangan termasuk persediaan menghadapi PRU sentiasa dibincang,” katanya.
Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin memberi bayangan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRU15.
Katanya, imej bulan yang terdapat pada logo parti itu dilambangkan sebagai bersih dan pihaknya yakin ia mampu memberi kelebihan kemenangan kepada calon parti berkenaan kelak. – Malaysiapost
