BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan berada dalam keadaan tidak sifat dan memerlukan rawatan serta penjagaan rapi.
Keadaan kesihatan bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok berusia 76 tahun itu dikongsikan oleh bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin di laman Facebook, hari ini
Menurut Faekah, beliau sempat menziarahi Abdul Khalid semalam dan berasa sebak melihat keadaan bekas
“Ku paparkan di sini sedikit luahan serta doa agar teman sekalian dapat turut merasa dan mendoakan serta mengaminkannya.
“Semalam sempat ziarah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Masuk sahaja ke bilik, nampak Pn Sri Salbiah (Isteri Abdul Khalid) sedang duduk setia di sisi sambil memerhati beberapa jururawat yang sedang menyediakan alatan untuk memberi rawatan kepada Tan Sri.
“Dengan tidak semena-mena dadaku terasa berat, sebak dan pilu, apatah lagi kedengaran sayup bacaan al-Quran yang dipasang di bilik tersebut,” luahnya.
Beliau turut sedih kerana tidak berpeluang untuk berbual dengan Abdul Khalid kerana jururawat sudah mahu memulakan rawatan.
Faekah bagaimanapun turut mendoakan agar segala urusan rawatan Abdul Khalid dipermudahkan dan kembali sihat.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut mendoakan kesihatan bekas Menteri Besar Selangor itu.
“Difahamkan Tan Sri Khalid Ibrahim tidak sihat, perlukan rawatan dan penjagaan rapi. Marilah kita sama-sama doakan agar segala urusan dipermudahkan buat Tan Sri Khalid dan keluarga.
“Semoga diberikan kekuatan dan kesembuhan, dan dikurniakan kesihatan yang baik segera,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Khalid pernah dimasukkan ke hospital swasta akibat jangkitan paru-paru.
Abdul Khalid menyandang jawatan Menteri Besar Selangor selama enam tahun bermula 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014 selepas Pakatan Rakyat berjaya merampas Selangor daripada Barisan Nasional (BN)
Beliau bagaimanapun dipecat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum jawatan itu digantikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. – Malaysiapost

