KELAB Bola sepak Sri Pahang (Sri Pahang FC) hari ini mengumumkan Dollah Salleh dilantik sebagai jurulatih interim pasukan Tok Gajah itu sehingga akhir musim dalam saingan Liga Super tahun ini.
Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan menerusi officialsripahang Instagram, sebentar tadi.
Menurut kelab itu, Dollah kini mengambil alih tugasan bekas jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel yang tidak diteruskan khidmat.
“Sri Pahang FC mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Gamel,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Sri Pahang FC turut mengumumkan Fandi Ahmad sebagai penasihat teknikal pasukan.
“Fandi bukanlah nama asing dalam kalangan penyokong Sri Pahang, beliau pernah menyarung jersi Tok Gajah selama dua tahun dan merupakan anggota skuad kejuaraan berganda Liga Premier dan Piala Malaysia pada tahun 1992.
“Semoga kepakaran dan pengalaman Fandi Ahmad dapat dimanfaatkan pasukan Sri Pahang,” katanya.
Pada 3 Julai lalu, kedudukan Gamel sebagai pengendali Sri Pahang FC mula menjadi bualan selepas kekalahan pasukan itu ketika menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu. – Malaysiapost

