Liga M berwajah baharu musim depan, 18 pasukan berentap di Liga Super

0
1

LIGA Malaysia 2023 bakal berwajah baharu apabila Malaysian Football League (MFL) melakukan beberapa penstrukturan semula.

Liga Super akan membabitkan penyertaan 18 kelab berbanding 12 sejak 2013.

Pada masa sama, Liga Premier akan dimansuh dalam tempoh tertentu sebelum dilancarkan semula sebagai Liga Semi-Pro selepas program pembangunan kelab dilaksanakan bersama Amateur Football League (AFL) untuk pasukan pasukan M3.

MFL menerusi kenyataan memaklumkan Liga Simpanan (Reserve League) akan diperkenal sebagai liga yang bakal menjadi jambatan untuk memperbaiki jurang pembangunan dilihat dalam struktur liga tempatan.

Menurut pengendali Liga Malaysia itu, Liga Simpanan juga sebagai landasan perantara Liga Super untuk pemain pemain mendapat minit permainan, adaptasi dan persediaan ke liga utama tersebut.

“Dengan itu, konsep Reserve Team akan berakhir dan semua pasukan Liga Super bakal mempunyai pasukan bawah 23 tahun (B-23) dan ini sekali gus memberi daya saing lebih seimbang kepada semua pasukan,” katanya.

Terdahulu berlangsung Mesyuarat Luar Biasa (EGM) di Kelana Jaya hari ini.

Tambah MFL, pasukan Liga Super dibenarkan mendaftar sembilan pemain import bermula musim depan, dengan hanya lima dibenarkan beraksi dalam satu perlawanan dan satu pemain import di bangku simpanan.

Ia sejajar pergerakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan berasaskan jaminan slot kepada pemain tempatan di atas padang sambil memastikan peningkatan kualiti dan peluang setiap pasukan dalam sesebuah liga elit kebangsaan juga diutamakan serta kuota pemain import sama rata kepada semua pasukan Liga Super.

“Format Piala FA dan Piala Malaysia akan dirumus semula dengan peningkatan perlawanan liga dan perubahan kalendar AFC musim depan,” katanya.

Sementara itu pasukan Liga Simpanan hanya dibenarkan mendaftar tiga pemain import dan dua pemain berusia 23 tahun ke atas, dengan hanya dua pemain import dibenarkan beraksi dalam satu perlawanan.

Piala Presiden kekal untuk pemain B-21, Piala Belia untuk pemain B-19 dan Piala KPM untuk B-17. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here