Tambahan 27 tren LRT baharu menjelang Disember 2024 – Ka Siong

0
1

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sebanyak 27 tren baharu bagi kegunaan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya (KLAV 27) akan dibekalkan secara berperingkat menjelang Disember 2024.

Beliau berkata, kedatangan tren baharu itu adalah amat tepat pada masanya untuk menggantikan tren lama yang digunakan sekarang.

“Tren dua gerabak sedia ada akan digantikan dengan empat gerabak, namun dalam masa sama, beberapa tren sedia ada masih akan digunakan untuk mengurangkan kesesakan apabila ia berlaku,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, Ka Siong melawat Hartasuma Sdn Bhd di Pulau Indah iaitu sebuah syarikat tempatan yang berupaya dalam pembuatan ‘rolling stock’ atau pengangkutan rel.

Menurut Ka Siong, Hartasuma mempelopori evolusi industri rel negara dengan membekalkan koc penumpang dan LRT pemasangan tempatan yang pertama kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Prasarana Malaysia.

“Sehingga kini, syarikat ini telah menghasilkan lebih daripada 400 tren untuk industri rel negara.

“Hartasuma juga bertanggungjawab menjalankan pemasangan ‘bogie’ atau dek roda sepenuhnya di Malaysia untuk 19 set tren yang terakhir.

“Pemasangan bogie adalah komponen penting dalam pemindahan teknologi dan menggalakkan pembangunan pengetahuan serta meningkatkan kepakaran dan keupayaan tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata, beliau berharap syarikat tempatan seperti Hartasuma dapat terus melakar kejayaan dan dalam masa sama dapat membuktikan keupayaan kepakaran tempatan kepada masyarakat dunia.

“Dengan wujudnya lebih banyak kemudahan pembuatan dan pentauliahan tempatan, maka sudah tentu ia akan mengurangkan kebergantungan kita kepada pembekal antarabangsa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here