Siasatan bukan untuk kenakan Syed Saddiq – pegawai SPRM

0
1

PEGAWAI Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa siasatan kes kehilangan wang RM250,000 terhadap Syed Saddiq Abdul Rahman bertujuan mengenakan Ahli Parlimen Muar itu.

Saksi ke-23 pendakwaan, Muhamad Khairi Muhamad Rodi, 33, dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini turut menafikan cadangan peguam bela Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq bahawa SPRM sengaja mencari kes terhadap anak guamnya, lapor Berita Harian.

Gobind: Saya katakan kepada kamu, ini adalah penyalahgunaan kuasa oleh pihak SPRM untuk kenakan Syed Saddiq dalam kes ini, setuju atau tidak?

Muhamad Khairi: Saya tidak setuju.

Muhamad Khairi kemudian menjelaskan siasatan terhadap Syed Saddiq adalah berdasarkan aduan yang diterima.

“Saya tidak bersetuju jika dikatakan siasatan ini adalah untuk mengenakan YB Syed Saddiq kerana apa juga aduan dan maklumat yang kami terima akan diteruskan dengan siasatan.

“Jadi tiada siasatan terpilih atau untuk mengenakan orang di dalam kes ini,” katanya.

Terdahulu, Muhamad Khairi memberitahu mahkamah bahawa beliau ditugaskan sebagai pegawai penyiasat bagi kes kehilangan wang RM250,000 di rumah Syed Saddiq pada 31 Mac 2020.

Ketika disoal semula Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, adakah siasatan berkenaan semata-mata untuk mengenakan Syed Saddiq, Muhamad Khairi menjawab: “Tidak sama sekali.”

“Siasatan adalah untuk mencari sumber kewangan RM250,000 yang dikatakan hilang di rumah YB Syed Saddiq.

“Kami hendak mengesahkan ada atau tidak kesalahan di bawah akta SPRM, disebabkan itu tiada di seksyen yang terperinci diletakkan pada mula aduan dibuka,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here