Kerajaan Pahang belum terima cadangan bina ladang solar

0
1

KERAJAAN Pahang tidak ada masalah untuk mempertimbangkan pelaksanaan projek ladang solar di Felda Bukit Goh, Kuantan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya belum menerima permohonan rasmi daripada syarikat terbabit.

“Kalau untuk kebaikan rakyat, kita tidak ada masalah untuk mempertimbangkan pelaksanaan projek itu.

“Cuma, buat masa ini belum ada (terima) lagi kertas cadangan berkaitan projek ladang solar seperti yang dimaklumkan,” katanya ketika sidang media di Ulu Dong, Raub, petang tadi.

Sabtu lalu, Loyalty Holdings Sdn Bhd dan Gabungan Dua Generasi (G2G) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memulakan proses untuk melaksanakan projek ladang solar di kawasan seluas 4,000 ekar (1,619 hektar) di Felda Bukit Goh, Kuantan.

Kawasan itu adalah tapak bekas lombong bauksit dan tidak lagi boleh ditanam dengan kelapa sawit.

Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan Pahang sudah mengambil pelbagai inisiatif dalam menangani isu sekuriti makanan.

Katanya, antara inisiatif itu adalah mengoptimumkan penggunaan tanah rizab padang ragut bagi projek berkaitan agromakanan.

“Macam hari ini, kita buat MoU untuk projek ternakan kerbau tenusu dan lembu wagyu.

“Kerajaan negeri diwakili Rangkaian Delima Sdn Bhd (Rangkaian Delima) manakala syarikat yang akan berkerjasama melaksanakan projek ini ialah MIG Dairy Fresh Sdn Bhd.

“Projek akan dilaksanakan di tanah seluas 704 ekar (284 hektar) milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan negeri Pahang dan dijangka siap pada tahun 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Delima, Azrul Khairi Muhammad berkata, projek berkenaan membabitkan dua fasa iaitu pembangunan kawasan dan pembinaan kilang untuk industri hiliran.

“Bagi fasa pertama, jumlah pelaburan ialah RM35 juta bagi kerja pembelian ternakan dan pembinaan infrastruktur ladang serta penanaman rumput.

“Untuk fasa kedua pula, dijangkakan sekitar RM40 juta hingga RM50 juta lagi akan dilaburkan bagi pembinaan kilang untuk penghasilan susu, daging wagyu premium, yogurt dan keju,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here