Kanak-kanak 4 tahun maut jatuh tingkat 35 kondo

0
1

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 35 sebuah kondominium di Pandan Perdana, Ampang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada pengawal keselamatan kondominium terbabit pada jam 2.20 petang.

“Hasil siasatan mendapati ibu mangsa seorang warganegara Indonesia berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu rumah sambilan telah membawa mangsa ke tempat kejadian untuk bekerja membasuh dan melipat kain.

“Sebelum kejadian, wanita itu meninggalkan anaknya tidur seorang diri di ruang tamu rumah sebelum turun ke bawah untuk membasuh pakaian di dobi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semasa berada di tingkat bawah, ibu mangsa melihat orang ramai berkerumun sebelum turut sama melihat apa yang berlaku dan terkejut selepas mendapati mangsa adalah anaknya.

“Mangsa dipercayai telah bangun darii tidur dan membuka pintu gelongsor sebelum memanjat kerusi yang ada di balkoni.

“Ketika kejadian bapa mangsa berada di Petaling Jaya bekerja dan pasangan itu sudah menetap di Malaysia sejak lima tahun lalu, manakala mangsa adalah anak bongsu daripada tiga beradik.

“Adik-beradik mangsa ditinggalkan dengan nenek di negara asal,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk proses bedah siasat dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak.

“Polis menasihati orang ramai supaya menjaga tingkah laku anak-anak. Tidak meletakkan sesuatu yang mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here