POLIS mengesahkan rakaman suara seorang individu menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW seperti yang tular di media sosial sejak semalam adalah kes lama dan sudah diambil tindakan.
Ketua Polis Daerah Kuantan Assisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi dua minit 54 saat pada jam 3.45 petang semalam yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, video berkenaan memaparkan rakaman suara individu menghina agama Islam dan video rakaman audio berkenaan turut dimuat naik di Facebook, namun kejadian tersebut berlaku di lokasi, masa dan tarikh yang tidak dikenalpasti.
“Terdapat satu laporan polis yang dibuat berkaitan penularan semula video lama tersebut di media sosial.
“Hasil semakan polis, kes ini telah dibuka dan disiasat pada tahun 2020. Kes telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang dan Ketua Unit Jenayah dan Ketenteraman Awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes berkenaan telah disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenangnya menyentuh sebarang isu sensitiviti melibatkan perkauman dan keagamaan dalam kalangan masyarakat.
“Sebarang permasalahan boleh berhubung terus dengan Balai polis berhampiran,” katanya.
Malaysiapost semalam melaporkan, dua lagi individu dikesan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW melalui rakaman video serta audio yang tular di media sosial.
Menerusi satu klip video yang memaparkan seorang lelaki bertindak biadap dengan menghina agama Islam serta mencabar orang Islam supaya mencari dan berhadapan dengannya.
Lelaki berusia 35 tahun sudah ditahan dalam serbuan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang, Kelantan jam 11.30 pagi, semalam dan kini direman selama empat hari.
Sementara itu, turut tersebar satu rakaman audio suara seorang lelaki yang menghina Nabi Muhammad SAW. – Malaysiapost

