SEORANG penceramah bebas yang didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor semalam.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa pada jam 11.15 malam Sabtu lalu.
Katanya setakat ini, empat kertas siasatan dibuka iaitu dua di Selangor, masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Perak melibatkan pengadu yang sama.
“Hasil siasatan awal mendapati, pengadu telah berkenalan dengan suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an sejak Mei tahun lalu.
“Bermula dari perkenalan tersebut, pengadu dan suspek telah beberapa kali melakukan hubungan intim di beberapa lokasi berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sasikala Devi berkata, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuala Selangor telah menahan suspek pada jam 4.50 petang.
Menurutnya, suspek direman lima hari bermula sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – Malaysiapost

