NAIB Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah orang Melayu tersalah memetik kata-kata diungkapkan Laksamana Hang Tuah kerana mungkin tidak membaca sehingga habis.
Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata kata-katanya bukan sekadar ‘Tak akan Melayu hilang di dunia’ tetapi ada sambungan lagi selepasnya iaitu ‘Tak akan Melayu hilang di dunia selagi Melayu berpegang kepada agama’.
“Sehingga ada yang memperjuangkan Melayu tetapi solat entah ke mana kerana atas dasar Melayu sahaja.
“Hakikatnya, Melayu sebenarnya ada kaitan rapat dengan Islam. Dalam perlembagaan, disebut takrif kepada Melayu ialah seorang yang beragama Islam dan secara lazimnya mengamalkan adat istiadat Melayu dan bercakap dalam Bahasa Melayu, bukan disebabkan oleh keturunan.
“Inilah yang diperjuangkan Profesor Burhanuddin Al-Helmi suatu ketika dahulu bahawa orang Melayu ialah orang yang berpegang teguh pada agama Islam.
“Melayu bukan hanya di Semenanjung tetapi di seluruh Nusantara termasuk Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand selagi mana beragama Islam,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya.
Katanya lagi, Profesor Syed Naquib pernah menyebut bahawa Melayu menjadi hebat apabila menerima Islam.
Tambahnya, sebelum menerima Islam, Melayu tidak tersohor kerana tamadun tidak membangun.
“Dia pernah menyebut dalam kuliahnya, ‘Bangsa Melayu menemukan makna dirinya dengan Islam’ yang bermaksud orang Melayu mengenali diri adalah kerana Islam.
“Dengan Islam, orang Melayu menjadi ‘orang’ dan bangsa yang hebat, bahasa Melayu menjadi ‘lingua franca’ iaitu bahasa pertuturan di Nusantara, Acheh, Sumatera, Pasai dan Melaka. Inilah kehebatan kerajaan Melayu pada ketika itu,” katanya.
Mohd Amar berkata, bangsa Melayu terkenal dengan tamadun ilmu bukan bangunan kerana mereka tidak bersungguh untuk membinanya dan bangunan pula dibina daripada kayu.
“Jadi, mereka lebih membina ilmu atau akal sehingga muncul orang-orang hebat yang boleh bercakap mengenai perundangan dan perbincangan falsafah peringkat tinggi seperti pengajian Sifat 20 untuk para ulamak ketika itu melawan pemikiran di Greek,” katanya. – Malaysiapost

