SEORANG pemimpin Umno Sabah bersetuju supaya usul Ahli Parlimen Kota Belud dari Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis untuk Dewan Rakyat membahaskan mengenai tuntutan Sulu ke atas Sabah diluluskan.
Ketua Umno Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sepatutnya menggunakan budi bicara untuk membenarkan perbahasan itu.
Ini kerana katanya, ia isu spesifik, berkepentingan awam dan mendesak mala tiada sebab kenapa tidak boleh dibahaskan.
“Walaupun sebelum ini ada penerangan dibuat oleh kerajaan, tetapi ahli-ahli Parlimen terutama dari Sabah masih banyak persoalan yang ingin ditanya.
“Maka perbahasan di Parlimen adalah platform terbaik untuk kerajaan menjawab persoalan ahli-ahli Parlimen dan menerang serta menjelaskan secara terperinci tindakan dan perancangan untuk menangani isu tuntutan ini terutama setelah aset-aset Petronas “dirampas” di luar negara.
“Saya difahamkan usul Ahli Parlimen Kota Belud akan dihantar semula ke pejabat Speaker. Saya menuntut usul ini diluluskan agar ianya dibahas secara terbuka dan telus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata Speaker dan kerajaan Pusat perlu faham soal tuntuan dan keselamatan Sabah adalah isu besar dan terlalu dekat di hati rakyat negeri itu.
“Jangan sampai usul ini ditolak bagi kali keempat sehingga rakyat Sabah tidak memaafkan. Ini isu kedaulatan Sabah dan orang Sabah khuatir tentang masa depan mereka,” katanya lagi. – Malaysiapost

