Haramkan aktiviti pembalakan sekurang-kurangnya 50 tahun

0
1

SARANAN supaya kerajaan memberi insentif kredit karbon kepada negeri-negeri yang masih mempunyai hutan simpan yang banyak, dilihat sebagai pandangan yang baik tetapi bersifat jangka pendek dan sekadar bersifat populis.

Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, menyelar saranan dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari itu.

Menurutnya, dengan keadaan bencana banjir yang semakin teruk sejak kebelakangan ini, sepatutnya pelan menangani banjir bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malah di peringkat negeri juga perlu dimantapkan.

“Negeri Kelantan sebagai contoh yang sering dipersalahkan kerana berlakunya pembalakan haram, komersial dan pembalakan tidak terancang perlu membuat satu dasar tegas dengan mengharamkan pembalakan sekurang-kurangnya bagi tempoh 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai pandangan Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas ketika membahas Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Nasrul, semua sedar kenapa hutan simpan di Kelantan masih banyak, ia kerana tiada pembangunan yang besar di negeri berkenaan.

“Walaupun lebih 30 tahun Pas memerintah, pembangunan yang perlahan membolehkan jumlah hutan simpan masih banyak, tapi malangnya pembalakan haram masih tidak mampu dikawal.

“Hutan simpan yang banyak pula bukan lesen untuk menghalalkan pembalakan. Sepatutnya sebagai pemimpin muda perlu melihat lebih jauh bagi menjaga aset alam semula jadi di negeri itu supaya tak dijarah dengan kerakusan kapitalis,” katanya.

Menurutnya, Malaysia perlu mencontohi Thailand yang serius dan tegas dalam menjaga hutannya.

“Sebagai contoh mana-mana orang yang ditangkap melakukan pembalakan di Thailand akan dihukum mati.

“Walaupun negara mereka lebih besar dan mempunyai jumlah hutan yang lebih banyak, tetapi tiada kompromi bagi memastikan tiada lagi bencana yang boleh mengancam nyawa dan kemusnahan alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Nasrul berpendapat cadangan mempertingkatkan kemudahan berteknologi untuk kegunaan renjer hutan bagi pengawasan yang lebih efektif adalah satu cadangan yang baik.

“Selain itu, sistem pelaporan juga perlu dipertingkat agar lebih tepat dan ‘real-time’ supaya dapat dikenalpasti mana-mana kawasan berlaku pencerobohan hutan setiap hari dan tindakan segera yang tegas boleh diambil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here