Naikkan had umur, mampu atasi kes perkahwinan kanak-kanak perempuan

0
1
young syefura

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menyokong keputusan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam meluluskan had umur perkahwinan perempuan kepada 18 tahun.

Beliau berkata, pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam berkaitan had umur perkahwinan dan undang-undang poligami sebelum sering dipandang enteng sesetengah pihak.

Namun, katanya, dengan pindaan ini bukan sekadar dapat membantu mengurangkan perkahwinan kanak-kanak perempuan, tetapi melindungi masa depan mereka.

“Saya menyambut baik keputusan dari Sidang DUN Kedah yang diteraju oleh PAS pada hari ini yang telah menaikkan had perkahwinan perempuan ke usia 18 tahun.

“Walaupun ada yang merasakan isu ini adalah isu yang remeh, namun dengan pindaan enakmen ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan perkahwinan kanak-kanak perempuan. Melalui pindaan ini, kerajaan negeri Kedah tampak progresif dan bersedia untuk maju,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, Young Syefura berharap Kerajaan Negeri Pahang yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) akan mengambil contoh dan mengikut jejak langkah kerajaan negeri Kedah ini.

“Ini kerana pada 2018, saya telah membahaskan isu ini di dalam ucaptama saya di sidang DUN Pahang. Malangnya ia dijadikan bahan jenaka dan ejekan,” katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, beliau masih lagi berpegang teguh dengan pendiriannya bahawa had umur perkahwinan bagi perempuan perlu dinaikkan demi melindungi setiap anak-anak perempuan dan menjamin masa depan yang lebih baik buat mereka.

Semalam, Persidangan DUN Kedah meluluskan RUU Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) (Pindaan) 2022 berkaitan had umur perkahwinan dan undang-undang poligami.

Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat berkata, pindaan enakmen itu melibatkan umur perkahwinan bagi perempuan daripada 16 tahun dinaikkan kepada 18 tahun.

Selain itu, hukuman poligami tanpa kebenaran mahkamah iaitu dipenjara setahun atau denda RM3,000 berbanding enam bulan penjara atau denda RM1,000 sebelum ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here