PUTERI Umno mempersoalkan masih ada lagikah rakyat yang akan percaya dengan janji Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak.
Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, berkata Ketua Pembangkang itu akan terus mencipta penipuan baharu, selepas berjaya menipu rakyat dan menjadi kerajaan selama 22 bulan.
“Selepas berjaya menipu rakyat dan berkuasa 22 bulan di Putrajaya. Mereka akan terus menerus mencipta penipuan baru dan perbodohkan pengundi.
“Masih ada yang percaya janji palsu macam ni?,” soalnya di hantaran Facebook hari ini.
Semalam, dalam sidang media Kongres Nasional PKR, Anwar mengulangi janji untuk menurunkan harga petrol sehari selepas dia memegang tampuk kuasa.
Calon Perdana Menteri PH itu berkata beliau sedar janji itu dipermainkan oleh orang ramai kerana PH tidak menepatinya semasa mentadbir negara selama 22 bulan.
Bagaimanapun, tegas Anwar, janji itu sebelum tidak ditepati kerana beliau bukan Perdana Menteri ketika itu.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mendakwa kerajaan sekarang tidak dapat menangani isu harga minyak kerana mereka yang berkuasa sibuk bekerja untuk menyelamatkan karier politik masing-masing.
Tambah beliau, keadaan itu bertentangan dengan PH yang menumpukan usaha menjaga kebajikan rakyat.
Pada 2008, Anwar berjanji kepada orang ramai bahawa gabungan parti pembangkang yang dipimpinnya ketika itu akan menurunkan harga minyak sebaik sahaja mendapat mandat untuk mentadbir negara. – Malaysiapost

