Hans Isaac ucap terima kasih, sedia galas tanggungjawab sebagai MPP PKR 

0
1

SELEBRITI, Datuk Hans Isaac menyatakan kesediaan menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan berganding bahu bersama Presiden serta Timbalan Presiden untuk membina kekuatan parti. 

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada perwakilan yang melaksanakan tanggungjawab dalam memilih Ahli MPP bagi sesi 2022-2025. 

“Keadilan atau ketidakadilan dimulai dan diakhiri oleh diri. Meletakkan haq di landasannya menjadikan perjuangan suatu Keadilan dapat dirasai bukan sekadar diri tetapi juga rakyat. 

“Saya ucapkan terima kasih kepada para perwakilan KEADILAN yang telah melaksanakan tanggungjawab memilih Ahli MPP sesi 2022-2025,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Hans berkata, Kongres Nasional yang berakhir semalam jelas menunjukkan PKR kekal utuh dan tetap bersatu. 

“Suntikan semangat dari barisan kepimpinan yang baru nyata melonjakkan persepsi positif kepada rakyat. 

“Justeru, saya bersedia menggalas dan memikul tanggungjawab serta amanah berganding bersama Presiden dan Timbalan Presiden untuk membina kekuatan parti,” katanya. 

Hans sebelum ini memenangi jawatan ketua cabang PKR Ampang, menewaskan Altimet dengan memperolehi 748 undi, hanya melebihi dua undian dari komposer dan penyanyi rap itu yang meraih 746 undi. 

Bagaimanapun, baru-baru ini, Altimet pula diumumkan Ketua Cabang PKR Ampang,  selepas kiraan semula undi dibuat. 

Altimet atau nama sebenarnya,  Syed Ahmad Syed Abdul Rahman menewaskan Hans dengan kelebihan sembilan undi. 

Kiraan semula undi bahagian Ampang dibuat pada 29 Jun selepas parti mendapati pemenang asal, Daing Muhammad Reduan Bachok disabitkan dengan perbuatan membeli undi ketika berkempen. 

Dakwaan bahawa kegiatan membeli undi wujud di bahagian itu timbul kembali dengan ahli PKR, Muhammad Syafiq Zulkifli mendakwa, Hans turut terbabit dalam perkara tersebut. 

Hans bagaimanapun menafikan semua tuduhan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here