PENGARAH Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa individu yang menjadi Timbalan Presiden PKR tidak semestinya akan menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden parti.
“Timbalan Presiden PKR tidak semestinya menjadi Presiden. Tidak semestinya,” katanya seperti dilapor MalaysiaKini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada kemenangan Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden akan mengukuhkan tanggapan bahawa beliau berpotensi menggantikan Anwar.
Fahmi berkata, dalam kes Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini, perkara itu tidak berlaku.
Mohamed Azmin menjadi Timbalan Presiden PKR dari November 2010 hingga Februari 2020, sebelum keluar parti dan menyertai Bersatu.
Katanya, sekarang bukan masa untuk membincangkan soal peralihan tetapi persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Semasa pemilihan parti, pintu terbuka besar untuk siapa sahaja yang mahu mencabar Anwar, tetapi tiada yang buat.
“Sekarang, kita mesti benarkan mengambil peluang untuk membina parti bagi menghadapi PRU15 dengan pelbagai sebab.
“Dia masih jadi pengikat (dalam pembangkang) dan dia dapat tarik banyak sokongan,” katanya. – Malaysiapost

