PASUKAN pembelaan Awal Ashaari akan meneliti beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan berhubung pertuduhan pengacara popular itu melakukan khianat, sebelum membuat keputusan untuk menghantar jenis representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Peguam Awal, Hamizah Sobree berkata, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen itu yang diterima hari ini sebelum mengambil tindakan selanjutnya, lapor Berita Harian.
“Masih ada dokumen yang belum difailkan. Atas sebab itu, kita mohon mahkamah untuk menetapkan tarikh sebutan baharu bagi penyerahan baki dokumen berkaitan,” katanya ketika sebutan kes itu di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah Ab Manaff, berkata dokumen yang belum diserahkan termasuk laporan forensik.
“Sebahagian dokumen sudah diserahkan kepada pembelaan, yang lain akan diberi pada masa lain,” katanya.
Majistret menetapkan 25 Ogos ini untuk tarikh sebutan kes dan penelitian dokumen, manakala jaminan terhadap tertuduh dilanjutkan.
Pada 17 Mei lalu, Awal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, Petaling Jaya.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, dengan nilai kerugian dianggar RM600 pada jam 11.30 pagi, 16 April lalu.
Pengacara itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. – Malaysiapost

