SEORANG lelaki ditemui maut selepas dipercayai dipukul sehingga mati oleh isterinya dalam satu kejadian di kawasan perumahan Flat Nipah, Taman Daya, Johor Bahru, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 44 tahun ditemui dalam keadaan terbaring di dalam rumahnya.
Katanya, polis mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.50 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menahan suspek berusia 35 tahun di kawasan sekitar.
“Anak lelaki sulung pasangan itu merupakan saksi kepada kejadian tersebut,” katanya seperti dilapor Kosmo Online.
Raub berkata, suspek akan dikenakan perintah reman manakala motif dan senjata digunakan suspek masih dalam siasatan polis.
“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, menurut sumber, suspek dijumpai dalam keadaan kakinya terikat dan terdapat kesan lebam di bahagian sebelah kanan mukanya.
Sumber turut memberitahu, suspek ditahan polis di kawasan sekitar kira-kira jam 9.40 pagi tadi ketika dipercayai cuba melarikan diri. – Malaysiapost

